loading...

18 November 2014

Kenapa Sombong ?

Ini musim pesta ! mulut akan sibuk beroperasi, perut tak akan henti-hentinya menerima lawatan dari mereka yang bernama sang makanan. Jantung akan sesak seketika, nafas akan terganggu seketika. Demikiankah sewajarnya keadaan seorang ciptaan dikala pesta meraja dibumi ?

Oh, saya pernah menjadi gemuk. Saya pernah menjadi kurus (eh, pernahkah?) . Terkini ukur lilit tubuhku masih dianggap terkawal dan tidak menandingi mana-mana saiz kayu balak dalam dunia ini. Jika ia terjadi, nescaya saya akan berada didalam rumah membungkus diri dengan plastik sayur untuk membakar lemak secara manual. sigh !

Saya sedang berbahagia kala menaip ayat demi ayat didalam blog ini. Bahagiaku terbit kala hujan turun melawat tanah, kala matahari menyembunyikan diri dibelakang tabir awan gelap. Dibalik kaca dan konkrit kota ini, saya dapat menikmati betapa bahagianya ikan-ikan didalam laut sana. Mungkin mereka sedang menyanyi girang atau sedang melancarkan janji dan komitmen untuk hidup bersama dibalik rumpai laut sambil disaksikan batu karang yang indah. Oh, sungguh duniawi ^^ dunia ikan bukanlah duniaku meski hidupku terkadang masihlah sangat duniawi .

November sudah hampir kepada penghujungnya dan untuk menghitung hari bertukarnya tahun 2014 kepada 2015 adalah sangat cepat. Dunia ini tidak banyak berubah tetapi, penghuninya semakin aneh dan mementingkan diri sendiri. Jika dahulu dia masih baik tetapi kini tidak lagi. Senyuman dibalas dengan jelingan. Sapaan mesra dibalas dengan sangat tawar tanpa basa-basi yang sepatutnya. Saya sempat terkesan dengan sikap manusia yang seperti itu. Untuk apa sombong ?
Kenapa sombong
Berfikir dengan santai, bermain dengan mesra - ibu jariku merupakan jari yang paling gendut dari jari-jariku yang lain. Dipetang hari dia bertanya pada jariku yang paling kurus namun, seksi. 'Kenapa harus sombong' ?

Mataku sekadar melihat jemariku berbicara sesama mereka sambil jantung hatiku mengeluarkan suara yang sama 'kenapa harus sombong' ?

Menjadi kaku dua saat. Minum air jernih tanpa rasa. Berharap agar sang kepala membenarkan otak mengeluarkan pendapatnya. Perasaanku tidak pernah salah. Kepalaku sentiasa memberikan jawapan ayng baik. Kepada jemariku yang gendut dan kurus, jawapan diberikan untuk dilontarkan pada papan kekunci desktop pejabatku yang agak moden wajahnya.

Mengapa harus sombong ? saya pasti anda ada jawapannya mengapa anda sombong. Saya punya pandangan tersendiri . Hanya manusia 'perasan' hebat, kaya, punya segalanya, bla bla bla....yang suka sombong. Tiada sebab untuk manusia menjadi sombong. Apa yang kau miliki tidak akan kekal lama. Tidak akan dibawa mati. Esok, lusa atau tulat kau akan mati, jadi untuk apa menjadi sombong. Tiada faedahnya. Cacing akan menemani kuburmu sama seperti cacing-cacing itu nanti akan menanti saya dibawah tanah suatu hari nanti. Mengingatnya pun hatiku menjadi takut. Waktu itu, sombongmu tiada siapa yang peduli lagi. Jadi, untuk apa sombong ?

Tak perlu tersenyum pada semua orang jika itu bukan sikapmu. Tak perlu pula menggunakan mata untuk menjeling pada sesama kerana pada dasarnya itu juga bukan sikapmu. Cukup menjadi diri sebenar. Belajar menjadi manusia sejati. Jika hari ini dirimu menganggap engkau telah kaya dan lebih maju dari orang lain, lebih gah dari orang sekelilingmu, lebih masyhur dari sebelumnya...ingatlah itu semua tidak akan menambah sehari lebih panjang usiamu dibumi ini. Engkau akan mati dan hilang nafas bila tiba waktunya. Jangan sombong !

Hormati orang lain. Jika tidak mampu menghormati, cukup berdiam diri dan jangan lakukan apa-apa yang boleh mencederakan hati dan perasaan orang lain. Cukup hidup didalam lingkunganmu sendiri. Tak perlu menyusahkan orang lain. 

Ada faham ? jika faham, bagus ! tulisan ini tidak ditujukan pada seseorang tetapi khas untuk dibaca oleh semua ciptaan yang bergelar manusia. Jangan sombong, hidup kita  tidak akan lama. Tinggal sedikit waktu lagi, kita akan pergi. Mungkin diantara kita tidak akan sempat berjabat tangan lagi, atau mungkin kita tidak sempat mengucapkan selamat tinggal. Siapa tahu pertemuan kita hari ini merupakan pertemuan terakhir kita. Tidak bolehkah kita menjadi baik hari ini atau sekurang-kurangnya belajar menjadi baik lebih baik dan semakin baik setiap hari ?

Untuk apa sombong ? Tiada faedahnya menjadi sombong. Saya pernah melihat seorang manusia gemuk menjadi sombong. Saya juga seringkali melihat seorang manusia kurus bertingkah laku sombong. Saya juga pernah menjadi sombong. Kau juga pernah menjadi sombong. Itu hanya 'pernah'. Kini tidak lagi. Kini saya merupakan manusia paling baik disini (sombongkah ayat ini?) hahaha...

Demikianlah tulisanku dipetang hari tak bermatahari. Terima kasih kerana membaca. Tulisanku agak berkala sejak beberapa waktu ini. Rindu ke...hahaha. :P / Tuan empunya blog ini sibuk menulis artikel-artikel atas permintaan pelanggan gue. Gitu ? so, jangan pernah menjadi sombong kerana kita wujud diperut bumi yang sama. Melainkan kau datang dari planet lain dan masuk kebumi ini, maka kau dibenarkan untuk sombong selama dua jam. 

16 November 2014

Penulis Artikel Malaysia

Petang yang durjana tanpa senyuman. Perlukah saya menamakannya demikian ? *memejamkan mata sesaat sambil membaringkannya diatas sofa yang telah kurang empuknya* hati,jiwa, perut dan kepala bersatu menidakkannya. Petang ini adalah petang yang indah setelah kenyang mengisi perut dengan menu nasi ayam + neslo ping. aawwww ! kenyang . 

Berkaitan dengan tajuk diatas, saya tidak ingin memperkenalkan nama orang lain . Seronok berbaur sedikit rasa bangga dan ekslusif bila mana ramai orang mahu saya menjadi penulis untuk artikel-artikel mereka. Tidak riak tetapi, saya hanya manusia dan masih seorang manusia sehinggalah saya menutup mata mengakhiri usia dimuka bumi ini. 
Penulis Artikel
Saya mulai menulis artikel atas permintaan pelanggan sejak awal tahun 2014 dan harga sebuah artikel yang saya tawarkan adalah berbaloi mengikut jumlah perkataan dan tajuk yang diberikan. Untuk maklumat lanjut anda boleh terus berhubung dengan saya melalui FB saya dan kita bercerita lebih lanjut disana. 

Untuk contoh penulisan saya, anda boleh melihat melalui tulisan-tulisan didalam blog ini. Terkadang saya menulis secara santai tanpa menggunakan mata hati. Terkadang tulisan saya terbit kala pelangi terwujud dihadapan saya dan bayangan tentang 'sesuatu' itu terlintas lalu kuwujudkan ia didalam tulisan yang serba indah seindah pelangi. Namun, dikebanyakan waktu saya menulis tidak sekadar mengikut gerakan jemari dan perasaan tetapi, menggunakan hati yang terbuka luas seluas samudera raya dan hikmat dari sang Pencipta jantungku dan seluruh anggotaku.

Terserah pada anda ! tajuk artikel anda tentang apa ? saya akan menulisnya dengan sepenuh hati saya. Tidak akan mengecewakan anda. Tidak akan ! 

11 November 2014

Hello Bali !

6 Kerabat saya akan ke Kota Bali, Indonesia beberapa minggu dari sekarang dan saya tidak termasuk dalam rancangan tersebut kerana saya ada agenda lain (Venice, wait for me :P). Sedih ? saya tidak pasti sama ada ini sedih atau cemburu. haha. oppss ^^ saya sebenarnya dah sampai ke Kota Bali. Jadi tiada maknanya untuk menyimpan rasa itu didalam organ dalamanku yang tersulam rapi oleh Penciptaku.
Kota Bali
Hello Bali
Kota Bali terletak diantara Pulau Jawa dan Pulau Lombok dan ibu kotanya adalah Denpasar. Pulau Bali turut dikenal sebagai Pulau Dewata dan Pulau Seribu Pura. Tidak kurang juga yang berkata ia merupakan Pulau Hawaii Asia. Bersetuju atau tidak dengan kenyataan tersebut, terserah pada anda. Tiada paksaan untuk mengiyakan pendapat dan kata orang itu.

Bali

Hello Bali
Saya belum pernah ke Hawaii, USA dan tiada keinginan untuk ke tempat itu walau pernah menulisnya dalam diari kanak-kanak untuk berada dikepulauan itu suatu hari kelak. Namun, itu hanya imaginasi kanak-kanak yang tahu berdasarkan cerita dalam TV dan destinasi menarik dalam dunia yang diketahui hanya sebatas jumlah jari di hujung tapak tangan. Ketika membuka mata lebar-lebar dan hati ditebarkan pada keindahan ciptaan Tuhan, baru kusedar saya telah merugikan beberapa tahun kerana tidak menyimpan dolar-dolar untuk menjelajah dunia yang dipenuhi dengan banyak tempat indah. Terlalu banyak untuk dihitung dengan nombor. Terlalu banyak untuk diingat dengan kepala.

Kota Bali
Bila orang mengatakan Kota Bali sama seperti Pulau Hawaii, saya tidak dapat mengangguk kepala bersetuju juga, tidak mampu menggeleng kepala tanda tak bersetuju. Saya tidak dapat menilai kerana saya belum pernah ke Pulau Hawaii. Bagaimana mampu membezakan jika yang dibandingkan tidak pernah kita tuju ? :D

Kota Bali merupakan tempat yang senang dilawati kerana ia tidaklah tersorok dihujung dunia dibalik banjaran yang tidak dapat ditembusi oleh para pelawatnya. Ia hanya dihujung jari anda. Layari web Air Asia dan cari penerbangan ke Bali. Harganya tidaklah mahal dan boleh disanggupi oleh sesiapa sahaja yang berminat dengan sejarah dan keindahan Pulau Bali, Indonesia.

Hello Bali...namamu ringkas seringkas warna langit diatas sana namun, tiada siapa pernah membenci warna itu kerana ia istimewa dan terpilih untuk menjadi warna atap dunia.

5 November 2014

Melangkah Setapak Lebih Jauh

Blog ini tidak akan selalui menerima coretan-coretan manis dariku. Bukan malas kerana itu pastinya bukan sikap yang terwujud dalam sanubari ini. Zaman ini terlalu banyak yang harus dipaksakan dalam diri ini. tidak boleh malas, harus rajin ! tidak boleh mundur, maju terus ! tidak boleh berputus asa dan banyak lagi . 
Melangkah
Oleh itu, demi mengejar cita-cita yang sempat tergendala beberapa tahun lama, saya kembali mengejar  waktu yang ada untuk menjadikan mimpi itu sebagai realiti selagi nafas masih bertaut pada rongga pernafasan ini. Sekali detik terhenti, segalanya akan berakhir.

Makanya, sila fahami jika blog ini seakan-akan ditinggalkan sehingga bersawang . Natijahnya, saya tidak meninggalkan ia. Saya selalu rindu menulis dan selalu ingin melakukannya. Tetapi, saya sedang sibuk dengan banyak hal lain yang menuntut masa saya teragih-agih dari 24 jam yang saya miliki setiap hari.

Berjaya dalam hidup merupakan sesuatu yang manis namun, untuk sampai ketahap berjaya itu tidaklah mudah namun, tidak pula mustahil. Saya tersinggung dengan sikap sesetengah manusia yang malas tanpa berperasaan sedikit pun untuk mara setapak ke depan lebih baik dari sebelumnya. Peluang banyak, tetapi keinginan itu tidak ada. Sia-sia hidup tanpa kemajuan sedikit pun.

Tidak setiap hari saya menerima motivasi hidup untuk terus berjaya dalam bidang yang diceburi tetapi, setiap waktu yang dilalui itu sangat penting untuk saya mencipta sesuatu baik melalui perasaan, mimpi dan tindakan untuk menerbitkan keyakinan diri untuk melangkah selangkah lebih jauh dari tempat saya memulakan mimpi tersebut untuk menuju destinasi impian sebenar.

Tidak setiap orang yang kita temui mempunyai maksud baik terhadap diri kita tetapi, tidak pula semua orang yang ada bersama dengan kita berhati busuk untuk tidak mengangkat kita ke arena jaya. Setiap mereka yang hadir didalam hidup kita ada maksudnya. Hargai mereka apa adanya . Jika mereka ingin menentang kita, makanya kita berada di lembah yang benar untuk meraih mimpi kita. Hanya seorang yang berani menyahut rintangan dan cabaran akan berjaya dengan cemerlang dibandingkan dengan orang yang maju dengan cara yang mudah tanpa sebarang masalah dan dugaan. Adalah mustahil menerima kejayaan tanpa rintangan !

Bersyukurlah untuk setiap rintangan yang kita lalui. Hanya perlu bertahan dan lakukan apa yang perlu dilakukan tanpa perlu menjadi gila kuasa dan gila duit. Itu hanya menghancurkan. Kita akan berjaya meski pun hanya berjalan dijalan yang lurus tanpa perlu menyeleweng seperti mana 'mereka' yang besar perut dan tebal dompet kerana menelan hasil yang bukan sepatutnya milik mereka. 'Mereka' itu biadap dan suatu hari akan menerima balasannya. Ini bukan sumpahan, tetapi memang begitulah putaran hidup. Segala sesuatu akan ada masa si jahat menerima balasan.

Tulisan ini terwujud di kala mata sangat mengantuk namun, hati masih terbuka luas dan kepala masih belum padam memori dan aura kebijaksanaannya. Terima kasih kerana membaca.