Memaparkan catatan dengan label random life. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label random life. Papar semua catatan

11 Julai 2017

Aki-Odu Garden, Pekan Nabalu, SABAH

Ada kabus bertamu disini dan sungguh, itu bukan hal yang menghairankan kerana didepan tempat ini tersuguh gah  Gunung Kinabalu ikon kebanggaan negeri Sabah dibawah bayu. Tempat ini dinamakan Aki-Odu Garden sebagai sebuah jalur mengingat warisan moyang kepada generasi penerusnya, Aki-Odu bermaksud datuk-nenek dalam bahasa Dusun.
Aki-Odu Garden,  Pekan Nabalu, SABAH
Kabus ! kabus ! kabus ! disini juga boleh main hammock
Tempat ini lebih kepada camp-site dalam kebun dan sangat sesuai buat penggemar ketenangan dan damai. Saya sebagai sang pencinta dunia segar sangat suka suasana kawasan ini, nyaman dan jauh dari pencemaran alam kota.
Aki-Odu Garden,  Pekan Nabalu, SABAH
Kawasan penanaman sayur organik
Aki-Odu Garden,  Pekan Nabalu, SABAH
Sayur Organik
Aki-Odu Garden,  Pekan Nabalu, SABAH
Strawberry !
Bagi manusiawi moden yang tidak pernah berkelana dengan alam kampung, mendengar bunyi cengkerik dipetang hari, memegang tanah sehingga jeleknya kuku tersumbat dengan tanah atau menggunakan air tanpa rawatan klorin sebagai agen disinfeksi untuk membunuh patogen, tempat ini mungkin tidak mendapat tempat dihati kalian. Namun, jika anda adalah manusia yang inginkan pengalaman kampung, bercucuk-tanam, atau rindukan suasana novel seperti membaca buku dibawah pohon yang rendang sambil berhayun lembut didalam hammock dan sesekali bayu menampar lembut wajah....tempat ini sangat sesuai dijadikan medan menikmati suasana tersebut.
Aki-Odu Garden,  Pekan Nabalu, SABAH
Ruang santai dan makan
Pernah ke Thailand ? Vietnam ? Indonesia ? dan beberapa negara Asean yang mementingkan agriculture sebagai sumber pelancongan dan ekonomi ? sebenarnya negeri Sabah juga sangat berpotensi kearah itu cuma, ia kurang dikomersilkan. Aki-Odu Garden masih diawal rancangan sebuah kisah dan ia masih baru untuk mencari nama dibicara setiap bibir. Untuk waktu masa ini, ia hanya terbuka kepada kawan-kawan rapat dan keluarga yang mahu bermalam dibawah atap langit kerana, disini memang tiada rumah kalau pun ada, itu hanyalah pondok atau kemah. Kawasan ini hanya lebih-kurang 15 minit menuju Pekan Nabalu.  Kalau mahu ke Kundasang juga, sudah sangat dekat.
Aki-Odu Garden,  Pekan Nabalu, SABAH
Sunrise dari Gunung Kinabalu
Saya suka tempat ini, sejuk, kampung, tenang dan damai. Berhadapan dengan gunung Kinabalu dan dari kawasan ini juga, kita boleh melihat Gunung Trusmadi. Indah ? saya tidak ingin berlebihan dalam kata, lebih baik kalian sendiri menikmatinya dan menilainya kemudian.







22 November 2016

Kau Tak Boleh Jadi Pengawas Sekolah !

Kau Tidak Boleh Jadi Pengawas Sekolah !

Menjadi pengawas sekolah sangat menjadi idaman saya ketika berada disekolah rendah, sangat mahu! Namun, keinginan saya seringkali dipatahkan oleh guru kelas. 

Katanya, jangan. 

Cikgu tidak tahu keinginan terdalam saya sebenarnya adalah untuk menaikkan bendera dipagi hari, setiap hari isnin diperhimpunan sekolah. Keinginan saya mahu berdiri diantara para murid dan mengawal keadaan mereka, siapa yang bising tulis nama dan laporkan kepada cikgu. 

Guru kelas saya berkata, kau jangan jadi Pengawas Sekolah. Jangan ! ok ? kau jadi ketua kelas saja. Setiap tahun menjadi ketua kelas. Sebenarnya, saya bosan. Jika bukan pengawas sekolah sekurang-kurangnya lantiklah saya menjadi pengawas pusat sumber. Jawapannya sama. Tidak boleh. 

Kenapa cikgu mahu saya menjadi ketua kelas saban tahun? saya tidak tahu. Saya sebenarnya tidak suka memberi arahan kepada murid lain untuk berbaris setiap pagi sebelum masuk kelas. Memberi arahan untuk berdiri kepada murid lain ketika cikgu melangkah masuk kedalam bilik darjah. Mengawal kelas untuk tetap sopan dan santun perilakunya, diam ketika guru tiada didalam kelas. Membuat jadual bertugas murid-murid, siapa menyapu, lap cermin dan membuang sampah. 

Hal paling saya benci ketika menjadi ketua kelas adalah menulis nama murid yang bising, yang juga merangkap kawan saya dan nama tersebut harus diserahkan kepada cikgu. Kemudian, nama tersebut dipanggil dan mereka akan menerima hukuman. Oh, salahkah saya ? tidak juga. Siapa suruh mereka bising, nakal dan tidak mendengar kata saya.  Padan muka ! 

Kegagalan menjadi pengawas diusia kanak-kanak itu membuat saya bertekad untuk menjadi pengawas sekolah di sekolah menengah. Untuk apa ? saya juga tidak tahu atau mungkin kata orang menjadi pengawas itu sekurang-kurangnya kelihatan sedikit hebat dimata orang lain. Baju berbeza dengan pakaian seragam pelajar  dan menggunakan kasut hitam pula. Dari jauh orang akan tahu 'oh, dia punya pangkat disekolah itu'. Lebih kurang begitulah ! 

Ternyata, ia tidaklah semulus rasa. Menjadi pengawas sekolah disekolah menengah tidaklah terlalu seronok. Tidak juga terlalu gah. Sepanjang menjadi pelajar menengah saya adalah pengawas sekolah berbaju biru si warna awan dengan skirt warna putih. Pada awal musim tugas itu sempat membuat saya tertekan dan ingin berhenti dari menjadi pengawas tetapi, saya juga perlukan sesuatu untuk menambah nilai pada laporan tahunan sekolah saya. 
Kau Tak Boleh Jadi Pengawas Sekolah
Tamat tingkatan lima, saya pindah sekolah dan masuk tingkatan enam. Saya tidak memilih pengawas tetapi, saya dicadangkan oleh seseorang. Menjadi pengawas disekolah baru tidak semudah lantikan sebelumnya. Disekolah ini, harus menghadapi temuduga dan orientasi masuk longkang berlumpur, parit berair coklat, naik bukit masuk hutan dengan membawa sebiji belon dan belon itu tidak harus pecah. Jika ia pecah, kegagalan pertama sudah anda miliki. Diuji lagi dengan permainan sayang sibuta di kawasan tanah perkuburan kerana, sekolah saya memang jirannya manusia tak bernyawa. 

Satu minggu setelah ditemuduga saya lulus dan ramai juga yang ternyatanya tidak berjaya. Guru kelas saya sempat berpesan untuk tidak terlalu mementingkan tugas sebagai pengawas sekolah. STPM semakin hampir. Tingkatan enam atas, dipertengahan tahun saya mulai mengiyakan kata-kata cikgu saya itu. Saya tidak mengambil tugas lagi kerana, memangnya akan ada ambilan jawatan pengawas baru selepas itu. 

Waktu itu, harus fokus terhadap STPM dan menjadi kegemaran saya adalah matapelajaran sejarah juga, Pengajian Am. Rasa suka saya terhadap subjek itu tidak pernah terkubur, hingga kini. Subjek teratas kegemaran saya adalah sejarah. 

Sebaik mana pun manusia terhadap saya jika, ia pernah menjadi jahat terhadap saya..saya selalu akan mengingatnya. Berbaik-baik dengannya pastinya tidak menjadi masalah tetapi, untuk mempercayainya sungguh tidak akan pernah lagi ada didalam hati ini

...dan itu sebab saya suka akan sejarah. Sejarah tidak harus dilupakan. Menjadi pengawas sekolah adalah sebuah sejarah tetapi, justeru tugas itulah saya tahu bagaimana kebanyakan murid berpura-pura baik terhadap kita. -ketika spot check mereka ada tempat untuk berpaut atau istilahnya 'kitakan kawan' .....kawanlah sangat !

10 November 2016

Kenapa Saya Menjadi PENULIS ARTIKEL ?

Kenapa Saya Menjadi Penulis Artikel ?

Persoalannya sama dengan kenapa anda suka seseorang itu. Sebabnya apa ? kerana dia lebih baik dari orang lain atau kerana dia lebih cantik dan menarik atau kerana dia lebih kaya ? masing-masing punya cerita kenapa dia boleh terpikat kepadanya dan bukan dengan orang lain itu.

Saya menulis kerana saya memang minat menulis. Saya terpesona dengan kata-kata indah namun, citarasa saya bukan kata-kata puitis atau romantika yang dibuat-buat. Saya benci itu ! Kata-kata seperti itu membuat saya berasa seperti mahu muntah. 

Jadi bagaimana saya menulis artikel jika tidak menggunakan kata-kata puitis ? kata indah tidak semestinya puitis. Saya lebih cintakan kata bercorak tegas, tatabahasanya kelihatan mewah dan mempersona. 

Dahulu, saya pernah punya mimpi. Mimpi mahu menjadi peguam. Terlibat dengan akta dan undang-undang. Bukan kerana saya bodoh lalu, mimpi itu tidak menjadi nyata. Orang berkata jika ingin menjadi peguam, matapelajaran Sejarah harus cemerlang. Itu bukan masalahnya, saya tanamkan minat terhadap Sejarah dan  keputusan saya cemerlang, STPM saya 5P. Hebat bukan ? saya sepatutnya belajar di Universiti Sains Malaysia tetapi, tawaran lambat sampai. Ketika menerima surat tawaran itu saya telah pun mendaftar di Universiti Terbuka Malaysia .

Seringkali ditahun-tahun berikutnya saya berfikir dimana silapnya langkah saya sehingga gagal menggapai mimpi. Saya kecewa. Mimpi murni terkubur begitu saja, mahu digali dimasa ini adalah suatu kemustahilan sejati. Ketika mimpi terkubur, saya dalam diam merelakan ia terkubur, mati dan tidak perlu dingat-ingat lagi. 

Dalam diam saya merenungkan diri, apa lagi yang harus saya lakukan ? 

Tiba-tiba terbayang diwaktu sekolah bahawa saya merupakan seorang pelajar yang seringkali kali mendapat pujian dalam bahasa Malaysia. Dalam benak berfikir, mungkin saya boleh mengasah kemahiran menulis saya. Mungkin, saya tercipta dan terwujud untuk bermain dengan kata-kata, mengembangkan kata kepada ayat untuk disampaikan kepada masyarakat. Mungkin kata-kata itu nantinya menjadi suara menyalurkan sesuatu kepada seseorang. Mungkin. Mungkin saja saya boleh menjadi seorang penulis artikel.

 

Penulis Artikel ?

wow. 

Penulis artikel itu merupakan pekerjaan yang mewah, mewah pada nama. Mungkin juga mewah, pada hasil pendapatan. Saya berjinak-jinak dengan menulis blog. Tulisan saya indah tetapi, kurang hidup dan itu yang saya rasakan pada tahun 2010. 
Penulis Artikel
-Menulis lebih banyak, melangkah lebih jauh-
Seseorang yang giat dalam penulisan blog berkata 'never give up' dan kata-kata itu saya pegang hingga hari ini. Dua tahun lalu, saya mulai menambah cerita dalam hidup saya, tidak sekadar menulis blog tetapi, juga menerima tempahan menulis artikel dan menjadi penulis jemputan didalam blog mereka. 

Hari berganti hari, tulisan saya tidak sekadar tulisan untuk sebuah hobi semata-mata tetapi, saya menulis untuk sebuah kelangsungan hidup. Menulis dan menjana pendapatan. Menulis pelbagai tajuk mengikut apa yang diinginkan oleh pelanggan. Tidak mudah, saya akui. 

Menulis menciptakan saya sebagai manusia yang kreatif. Membaca banyak. Belajar lebih banyak lagi dan melangkah lebih jauh lagi. 

Itu menjadikan saya sebagai penulis artikel.

Kenapa saya mahu menjadi penulis artikel ? jawapan saya, kerana saya tidak layak digagalkan oleh satu mimpi yang tidak pernah menjadi milik saya. 

Kenapa saya mahu menjadi penulis artikel ? jawapan saya, kerana saya layak menciptakan satu mimpi baru setelah mimpi lalu gagal dan saya layak menikmati kejayaan bersama mimpi baru saya.

Kenapa saya mahu menjajdi penulis artikel ? jawapan saya, saya telah bersekolah terlalu lama, menghabiskan duit terlalu banyak pula dan hari ini saya hanya bekerja sebagai Assistant Secretary dan gaji yang 'biasa-biasa saja' dan saya berfikir melalui 'Part Time Job' ini saya mampu mencapai nilai yang jauh lebih tinggi (materialistik ? sedikit...tetapi beginilah hidup dizaman ini). 

Saya punya kerja hakiki dan menulis artikel hanyalah kerja sampingan saya. Meski hanya sampingan saya tetap memberikan tulisan terbaik buat semua. Tiada istilah 'cincai' kerana setiap dari kita berhak mendapatkan yang terbaik. 

Setiap kali tulisan saya diterbitkan, saya tahu itu adalah tulisan terbaik yang saya hasilkan. Tidak hanya satu artikel tetapi, saya sudah tidak mampu mengiranya lagi.  

Satu kata sebelum saya menutup tulisan ini, andai saja ada diantara kalian yang berminat menjadi penulis artikel dan berasa ingin berputus asa, saya serahkan kembali kata-kata yang pernah saya terima dahulu kepada anda 'never give up'.

26 Ogos 2016

Tiga Jenis Sampah Yang Menjijikkan !!

Tiga Jenis Sampah Yang Menjijikkan !

Banyak kali saya melihat mereka dan acap kali itu juga hatiku menyampah pada golongan itu. Wajah ayu, cantik. Wajah tampan, menarik. Malangnya, sikap tidak seindah kewujudan alami. Seperti habis madu, sepah dibuang..... eh ! salah. Itu kata-kata untuk kisah lainnya. Kisah ini berbeza, tetapi ada kebersamaannya jika diperhatikan dari sudut mata hati yang tajam.
Tiga Jenis Sampah Yang Menjijikkan
dia lebih baik...... dan tidak menjijikkan
Suatu hari bahkan selalu, mata ini melihat perbuatan tak senonoh itu. Merokok, abis rokok puntungnya dibuang merata tempat. Saya pernah melihat seorang wanita baya umur, berjalan bagai diri seorang model tanahair, menghembuskan asap dari mulut, melihat manusia sekeliling bagai dialah atasan dan orang lain hanyalah debu-debu yang ditiup angin dipinggir jalan. Habis rokok, lalu membuangnya begitu saja dan dia berlalu tanpa rasa bersalah dan menganggap bahawa perbuatannya sangat 'high class' .  Ciss ! biadap. Merokok 50 batang sehari pun tiada orang kisah akan paru-parumu dengan syarat jangan ditempat terbuka dan jangan membuang sampah merata tempat. Sudahlah udara dicemarkan, tanah dan konkrit juga mahu dikotor.

Tragedi masyarakat sampah kedua. Hari itu saya naik bas kerana encik driver ada hal. Seorang wanita muda dengan kekasihnya yang bukan pemilik hakiki lagu negaraku, minum minuman dalam tin. Rasa dahaganya hilang, air minumannya habis...cuba teka tin itu disimpannya dimana ? Traaaaang !! tin itu dibuangnya ke arah luar jendela kereta. Sesuka hatinya, ini bukan negerinya dan andai kata ini negerinya, sama saja dia tidak punya hak untuk mengotorkannya. Jujur saja, saya benci manusia bersifat hipokrit seperti itu. Bila ditegur, wanita itu berkata 'nanti ada orang pungutlah tu' ....... oh, manusia ! cara fikirmu terlalu sempit, rumahmu pasti dipenuhi sampah. 

Lagi satu, sampah yang tidak boleh dibuang namun boleh dipinggirkan. Ia tidak membuang sampah tetapi, kata-katanya selalu seakan sampah. Bicaranya menyakitkan terkadang terlalu manis sehingga sukar untuk dinikmati kerana kemanisannya. Jika terlalu dinikmati takut pula terkena penyakit diabetes kata-kata, terjerumus dalam lembah penyakit sukar diubati. Manusia jenis ini baik didepan, lain dibelakang ; sama seperti duit syiling belakangnya tidak sama dengan apa yang ada didepan. Manusia jenis ini sangat bahaya namun, sangat mudah untuk dikenal. Bila dia berkawan dengan orang lain, orang lain yang pada mulanya berteman dengan kita akan menjauh dengan kita , kalau boleh sejauh timur dari barat, selatan dari utara. Kenapa ? Kerana ada kata-kata projek sampah dari manusia jenis sampah ini. Menabur kata dusta dan durjana, mohon setiap manusia menyayangi diri manusia ini kerana dia lagi butuhkan perhatian dan kasih sayang. Sayangi dia ya ? meski dia tidak layak disayangi namun, dia berhak untuk dikasihi. Siapa tahu kasih mampu memurnikan hatinya yang keruh dan memadamkan hobi menabur benci dimana-mana.

Berbanding dengan peminta sedekah, saya lebih melihat jenis-jenis manusia diatas ini sebagai manusia yang lebih sampah berbanding golongan peminta.  Maaf. Kata-kata saya mungkin buat anda cemberut, mahu melihat keberadaan diriku sebaik mana jika dibandingkan dengan diri kalian. Hakikatnya saya tidak sebaik mana, realitinya saya tidak seteruk seperti apa yang saya tulis. Pada akhirnya, masing-masing kita berhak melakukan apa sukamu, apa mahumu kerana hidupmu adalah milikmu meski pada dasarnya ia bukanlah hakmu sepenuhnya. Dunia ini juga bukan milikmu. Setiap kita wajib menjaga persekitaran kita semakin indah setiap hari bukan semakin buruk dan hancur oleh perbuatan sampah manusia. 

Segaris kata sebelum tulisan berakhir 'jangan membuang sampah jika tidak mahu disebut sampah'.

loading...